Mitos bahawa perpustakaan digital membolehkan pengaksesan dan pengkongsian maklumat sejagat.

 

Sehingga kini, kita amat bertuah kerana boleh mencapai kebanyakan maklumat di Internet dengan percuma. Maklumat yang percuma ini boleh dianggap sebagai kemewahan yang boleh ditarik bila-bila masa, terutamanya jika kegawatan ekonomi dunia tidak dapat dipulihkan dalam masa yang singkat. Salah satu sebabnya ialah korpus maklumat di Internet masih kecil, iaitu hanya kira-kira 400 juta laman web. Selain itu, hanya 200 juta daripada 5.4 billion orang telah melanggan Internet di seluruh dunia. Sebahagian besar pelanggan itu berkumpul di benua Amerika Utara dan negara yang kaya di Eropah dan Asia; manakala sebahagian besar penduduk yang miskin di Latin Amerika dan Afro-Asia tidak dapat membayangkan yang diri mereka boleh menggunakan Internet sepanjang hayat mereka. Bagi mereka, menggunakan Internet adalah bagaikan 'impian' semata-mata. Pendek kata, cumalah utopia untuk mengatakan perpustakaan digital membolehkan pengaksesan dan perkongsian maklumat sejagat. Terdapat beberapa faktor yang boleh menjelaskan pernyataan ini.

Sebelum membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut, eloklah kita meneliti apakah itu perpustakaan digital. Definisi yang paling umum dan diterima secara meluas ialah perpustakaan itu wujud dalam ruang siber, justeru pengaplikasian teknologi digital dan rangkaian komunikasi yang pantas. Selain mempunyai maklumat elektronik perpustakaan digital juga mempunyai jaringan dengan perpustakaan lain, dengan rangkaian komputer dan juga kemudahan maklumat seperti Internet dan atas-talian. Isu yang ingin diperkatakan di sini ialah bolehkah pembangunan NII ( National Information Structure ) dan Internet yang semakin lama mengandungi semakin banyak maklumat digital, malahan sudah merangkaikan komputer di seluruh dunia sehingga terbentuknya persekitaran hypermedia dan ruang siber membolehkan pengaksesan dan perkongsian maklumat sejagat ?

Berikutan dengan peruntukan kepada perpustakaan yang semakin berkurangan dan juga perkembangan IT yang sudah membolehkan banyak perpustakaan dirangkaikan untuk mengakses maklumat sesama sendiri, kini banyak perpustakaan telah menggunakan model pengurusan baru yang mementingkan pengaksesan maklumat berbanding dengan model pengurusan lama yang mementingkan pemilikan. Sekali pandang, model pengurusan baru ini dapat mengurangkan kos perolehan bahan, maka dapat meringankan beban masalah kewangan dalam jangka masa pendek. Akan tetapi ianya tidak boleh mengurangkan kos operasi keseluruhan perpustakaan dalam jangka masa yang panjang. Salah satu sebabnya ialah, berbanding dengan media cetak, maklumat yang berbentuk digital hanya dapat diakses dengan peralatan yang sesuai ( compatible ). Membeli peralatan yang sesuai dengan perisian yang dibekalkan oleh vendor maklumat itu menambah kos operasi perpustakaan. Masalah bertambah rungsing kerana kedua-dua peralatan dan perisian teknologi kini berkembang dengan begitu pantas. Tidak hairanlah apabila peralatan dan perisian yang sedia ada perlu diganti dengan yang baru dalam tempoh masa beberapa tahun sahaja.

Selain itu, setiap kali berlakunya penggantian teknologi, 'means of recording', 'format of storage' dan sebagainya turut berubah. Ini bermakna banyak maklumat yang masih tersimpan dalam media teknologi lama akan 'terbuang' kerana peralatan dan perisian yang baru tidak semestinya boleh digunakan untuk mengakses maklumat yang dirakam dalam peralatan dan perisian lama. Pendek kata, jangka hayat ( life expectancy ) media elektronik yang semakin pendek menyebabkan perpustakaan menghadapi risiko kehilangan maklumat yang banyak. Ini tentu akan menjejaskan pengaksesan dan perkongsian maklumat sejagat.

Pemotongan peruntukan dan kos operasi yang semakin tinggi ternyata mempunyai tamparan yang hebat ke atas kebanyakan perpustakaan. Anthony Cummings telah mengkaji masalah kekurangan sumber kewangan yang dihadapi perpustakaan dalam laporan yang bertajuk "University libraries and scholarly communication : study prepared for the Andrew W. Mellon Foundation." Washington (D.C.) : Association of Research Libraries, 1992 ). Beliau mendapati perpustakaan akademik dan penyelidikan akan kehilangan kuasa membeli ( purchasing power ) sebanyak 90% daripada 1970 hingga 2000. Selain itu, perpustakaan awam di California yang dibuka 100 jam setiap 1000 penghuni pada 1977 hanya dapat dibuka 50 jam pada 1993. Kakitangan di perpustakaan lainnya telah dipotong daripada 200 kepada 20 orang. Ternyata masalah kewangan telah menyebabkan banyak jurnal terpaksa dibatalkan dan pembelian buku dibekukan. Ini telah menyebabkan koleksi perpustakaan semakin berkurang dan ketinggalan ( outdated ).Langkah memanjangkan waktu pembukaan perpustakaan pula dihalang serta kakitangan perpustakaan dikurangkan. Kesemua ini akan mengakibatkan pengaksesan dan perkongsian maklumat semakin sukar diteruskan.

Penerbitan elektronik kini dikatakan sebagai ' scattered, limited but growing'. Tetapi disebabkan oleh kos penerbitan yang tinggi, di samping kegawatan ekonomi, perkembangan penerbitan elektronik tidaklah akan serancak lagi seperti beberapa tahun dahulu. Yang akan berlaku ialah penerbitan selari ( parellel publishing ) di antara penerbitan cetak dan penerbitan elektronik untuk satu jangka masa tertentu. Ini juga bermakna perkembangan ke arah penerbitan elektronik hanya akan berlaku secara evolutionary dan bukannya secara revolutionary atau total.

Terdapat beberapa punca halangan kepada penerbitan elektronik. Salah satunya ialah jangka hayat data digital tidak diketahui. Selain itu, penerbitan elektronik masih memerlukan subsidi daripada penerbitan cetak dan kos penerbitan elektronik dijangka akan melonjak setelah subsidi itu ditarik nanti. Penerbitan yang tidak banyak sirkulasinya mungkin akan dikenakan caj yang lebih tinggi. Bukan sahaja penerbit yang besar sanggup meneruskan penerbitan elektronik, tetapi merekalah juga yang akan memonopoli maklumat yang diterbit oleh mereka nanti. Semua kos yang terlibat dalam penerbitan elektronik, termasuk 'cost of dissemination, marketing and promotion plus the access costs for low-use materials' akan 'dipindah' kepada pengguna. 'Consequently, electronic periodical subscriptions are not cheaper than those for paper-based materials ( Line 1996:38 quoting Steele ). Salah satu sebab mengapa para penerbit berminat pada pengaksesan elektronik ialah ianya memberi mereka lebih kuasa pengawalan ke atas penggunaan nanti. Dengan itu, mereka akan menentukan harga bahan dan pengguna serta perpustakaan terpaksa mengikut telunjuk jari mereka.

Akibat kos pengeluaran dan penyenggaraan yang semakin meningkat, lama kelamaan tidak akan ada lagi maklumat digital yang boleh didapati dengan percuma. Jurnal-jurnal elektronik yang terdapat di Internet adalah suatu kemewahan yang akan ditarik tidak lama lagi. Di masa depan, pengguna terpaksa membayar untuk mengakses maklumat digital sama ada melalui 'licensing, subscriptions or pay-per-view'. Ini bermakna, setelah maklumat dikomersialkan, orang yang mampu membayar boleh mendapat lebih banyak maklumat berbanding dengan mereka yang tidak mampu. Dalam konteks ini, pelajar dan penyelidik yang tidak mempunyai geran penyelidikan akan mendapati peluang mereka untuk mengakses maklumat sudah tersekat.

Selain itu, peranan Internet sebagai mekanisma penyebaran yang baru perlu dipandang dalam perspektif lain. Disebabkan keadaan sosio-politik dan ekonomi yang berbeza-beza di antara sebuah negara dengan yang lain, penerbitan elektronik tertumpu di negara yang maju. Demikian juga disebabkan kekurangan prasarana komputer dan telekomunikasi yang sesuai di negara di Afro-Asia dan Latin-Amerika, maka bukan sahaja penerbit elektronik negara maju susah menyebarkan produk mereka kepada negara membangun, tetapi juga penyelidik negara miskin mendapati susah membuat penyelidikan berbantukan teknologi.

Secara teori pengaksesan kepada maklumat digital sepatutnya adalah lebih senang, murah dan cepat berbanding dengan maklumat cetak. Tetapi, kos membina NII ( National Information Infrastructure ) dan menyambungkannya ( interconnecting ) dengan GII ( Global Information Infrastructures ) melalui rangkaian fiber-optik adalah sangat tinggi. Oleh kerana itu, hanya beberapa negara sahaja yang mampu berbuat demikian, seperti negara G7, OECD, APEC dan APT. Ini sekali lagi menunjukkan bahawa hanya mereka yang berpendapatan tinggi dan mampu mendapatkan peralatan dan perisian yang terbaru berpeluang mengakses maklumat daripada perpustakaan digital nanti.

Di antara masalah teknikal dalam pembangunan perpustakaan digital ialah pendigitasian bahan untuk memperbanyakkan maklumat digital. Buat masa kini, hanya 1% daripada maklumat analog ( yang terdiri daripada buku dan jurnal cetak, mikrofilem, manuskrip, laporan, tesis dan sebagainya ) yang berselerakan di perpustakaan, museum, arkib dan penerbit di seluruh dunia sudah didigitasikan. Maklumat digital yang sedikit yang terdapat di pasaran, lebih-lebih lagi di Internet itu boleh dipandang sebagai 'tips of the electronic iceberg'. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan fenomena ini. Antaranya :

Tidak dapat dinafikan yang perpustakaan digital mempunyai 'harapan' untuk membolehkan pengaksesan dan perkongsian maklumat sejagat. Akan tetapi, ternyata terdapat banyak cabaran dalam merealisasikan harapan tersebut. Cabaran-cabaran itu boleh ditinjau dari segi kewangan, teknikal dan pengurusan. Pada masa kegawatan ekonomi ini, ternyata masalah kewangan paling sukar diatasi. Akibatnya, peruntukan untuk perpustakaan semakin berkurangan dan kos pembangunan dan pengurusan semakin meningkat. Ini seterusnya menyebabkan kos operasi semakin lama semakin banyak dipindahkan ke atas pengguna. Implikasinya ialah hanya mereka yang berpendapatan tinggi dan mempunyai 'disposable income' yang mampu 'menikmati' kemudahan perpustakaan digital nanti. Sebaliknya, mereka yang berpendapatan rendah akan menjauhkan diri dan terus menjadi pengunjung setia perpustakaan tradisional. Sekirannya tiada jalan penyelesaian, ternyatalah yang perpustakaan digital membolehkan pengaksesan dan perkongsian maklumat sejagat akan kekal menjadi utopia!

-Tamat-

 

Rujukan :

Ding Choo Ming. 'Perpustakaan Digital Visi Baru Perkongsian Maklumat'. Nota TP2413

Ding Choo Ming. 'Mitos dan cabaran perpustakaan digital'. Nota TP2413

Ding Choo Ming. 'Penerbitan Elektronik, Internet dan Perpustakaan Digital'. Nota TP2413

Ding Choo Ming. 'Dari Impian ke Realiti : Perpustakaan Digital'. Nota TP2413

Ding Choo Ming. 'Pendigitasian : Potensi, Masalah dan Justifikasi'. Nota TP2413

Ding Choo Ming. 'Lahirnya Perpustakaan Digital'. Pemikir ( Okt-Dis 1997 ) : 151-164

Ding Choo Ming. 'Access to digital information : some breakthrough and obstacles'.